Abel Mutai, pelari dari Kenya yang bertanding dalam perlumbaan merentas desa antarabangsa, hanya berada beberapa meter dari garisan penamat dan bakal meraih kemenangan. Disebabkan dia keliru dengan papan tanda laluan dan berfikir bahawa dia sudah melepasi garisan penamat, lalu Mutai berhenti sebentar. Pelari dari Sepanyol di tempat kedua, Ivan Fernandez Anaya, melihat kesilapan Mutai. Dia tidak mengambil kesempatan untuk menang, sebaliknya dia mengejar Mutai, menghulurkan tangan dan membimbing Mutai maju untuk memenangi pingat emas. Ketika wartawan bertanya kepada Anaya sebabnya dia sengaja kalah dalam perlumbaan, dia menegaskan bahawa Mutai berhak untuk menang, bukan dia. “Apakah gunanya kemenangan itu? Apakah kebanggaan yang dibawa oleh pingat itu? Apakah pandangan ibuku tentang hal ini?” Sebagaimana yang dipaparkan dalam satu berita: “Anaya memilih kejujuran daripada kemenangan.”
Amsal mengatakan bahawa mereka yang ingin hidup dengan jujur, yang menginginkan hidup mereka menunjukkan kesetiaan dan kemurnian, akan membuat pilihan berdasarkan apa yang benar, dan bukan apa yang memanfaatkan. “Orang baik dipimpin oleh kejujuran” (11:3). Komitmen untuk hidup berintegriti ini bukan hanya cara hidup yang betul, tetapi juga memberikan kehidupan yang lebih baik. Amsal melanjutkan: “Orang yang tidak dapat dipercayai dibinasakan oleh kecurangan” (ayat 3). Dalam masa jangka panjang, ketidakjujuran tidak membuahkan hasil.
Sekiranya kita membuang integriti demi mendapatkan “kemenangan” jangka pendek, sebenarnya kita sudah kalah. Tetapi apabila kita diberi kuasa Tuhan untuk menjadi setia dan jujur, kita perlahan-lahan menjadi orang-orang yang berakhlak dan menjalani kehidupan yang benar-benar baik.