Itu adalah hari yang sukar ketika suami saya mengetahui bahawa seperti kebanyakan pekerja lain, dia juga akan segera diberhentikan pekerjaannya akibat wabak COVID-19. Kami percaya bahawa Tuhan akan memenuhi semua keperluan kami, tetapi hati kami masih dilanda ketakutan apabila memikirkan segala ketidakpastian.
Semasa mengendalikan emosi saya yang terganggu, saya mula membaca kembali puisi kegemaran saya hasil karangan Yohanes Salib (John of the Cross), seorang reformis pada abad ke-16 yang bertajuk “I Went In, I Knew Not Where” (“Aku Masuk, Aku Tidak Tahu Tempatnya”). Puisi itu menggambarkan keajaiban yang ditemukan dalam perjalanan hidup yang penuh pengabdian. Ketika kita “melintasi sempadan pengetahuan,” kita belajar untuk “mengenal perbuatan Tuhan.” Maka itulah yang saya dan suami cuba lakukan selama musim kesusahan ini: mengalihkan fokus daripada perkara di bawah kawalan dan berdasarkan pemahaman kami kepada perbuatan Tuhan yang tidak dijangka, indah dan misteri di sekeliling kami.
Rasul Paulus mengundang orang-orang percaya melakukan perjalanan, daripada yang kelihatan kepada yang tidak kelihatan, daripada kenyataan luaran kepada dalaman, dan daripada perjuangan sementara menuju “Kemuliaan itu jauh lebih besar jika dibandingkan dengan kesusahan itu” (2 Korintus 4:17).
Paulus menggesa orang percaya bukan kerana dia tidak bertimbang rasa terhadap pergelutan mereka. Dia tahu hanya dengan melepaskan apa yang dapat dimengerti mereka, barulah mereka dapat mengalami penghiburan, sukacita dan harapan yang amat diperlukan mereka (ayat 10, 15-16). Mereka dapat mengetahui bahawa keajaiban hidup Kristus yang menjadikan segala-galanya baharu.