“Nampak tu?” Tukang jam menyuluh ke arah tanda kecil dan halus yang terukir di dalam jam antik milik datuk saya yang sedang dibaikinya itu di rumah kami. “Tukang jam yang membaiki jam ini dahulu mungkin telah membuat tanda itu hampir satu abad yang lalu,” katanya. “Ia dipanggil ‘tanda saksi’, yang membantu saya mengetahui cara menetapkan mekanisme jam.”
Sebelum kewujudan buletin teknikal dan buku panduan pembaikan, “tanda saksi” digunakan untuk membantu tukang jam mempastikan setiap bahagian dalam jam itu bergerak dengan tepat pada masa hadapan. Ini bukan sekadar peringatan yang menjimatkan masa; tetapi juga ditinggalkan sebagai tanda kebaikan bagi tukang jam seterusnya yang melakukan pembaikan.
Alkitab mendorong kita meninggalkan “tanda saksi” semasa kita melakukan pekerjaan Tuhan dengan melayani orang lain di tengah-tengah dunia yang hancur. Rasul Paulus menulis kepada jemaah di Roma: “Sebaliknya setiap orang daripada kita harus menyenangkan hati saudaranya bagi kebaikannya, supaya imannya menjadi semakin teguh” (Roma 15:2). Tuhan telah memberi kita teladan-Nya, “yang menyebabkan kamu bersabar dan berteguh hati” (Ayat 5). Ini berbicara tentang menjadi warganegara yang baik di bumi dan di syurga.
“Tanda saksi” kita mungkin terlihat tidak penting, tetapi ia boleh memberi kesan yang besar bagi kehidupan seseorang. Kata-kata yang menggembirakan, bantuan kewangan untuk orang yang dalam kesusahan dan telinga yang sudi mendengar―semuanya adalah kebaikan yang dapat memberi kesan yang berkekalan. Semoga Tuhan menolong anda membuat tanda bagi Dia dalam kehidupan seseorang hari ini!