Tidak lama dahulu kami berpindah ke rumah baharu yang tidak jauh dari rumah lama kami. Walaupun jarak berdekatan, kami masih perlu memuatkan semua barang ke dalam trak sementara menunggu segala urusan jual beli diselesaikan. Dalam tempoh ini, perabot kami ditinggalkan di dalam trak dan keluarga kami menumpang di tempat penginapan untuk sementara. Masa itu saya hairan kerana berasa seperti “di rumah” meskipun itu bukan rumah kami. Hal itu pasti disebabkan saya bersama dengan orang yang paling saya sayangi— keluarga saya.
Dalam sebahagian hidup Daud, dia tidak memiliki rumah fizikal. Dia menjalani kehidupan sebagai pelarian kerana pemburuan Raja Saul. Sebagai pengganti takhta yang dilantik Tuhan, Saul menganggap Daud sebagai ancaman dan berusaha membunuhnya. Maka Daud melarikan diri dari rumahnya dan tidur di mana sahaja yang boleh dijadikannya sebagai tempat perlindungan. Meskipun dia mempunyai teman-teman bersamanya, keinginan Daud yang paling tulus adalah “tinggal di dalam Rumah TUHAN”—menikmati persekutuan kekal dengan-Nya (Mazmur 27:4).
Yesus ialah teman kita yang setia. Kita akan berasa seperti di “rumah” di mana pun kita berada kerana Dia menyertai kita. Dia menemani kita untuk mengharungi masalah masa ini bahkan menyediakan tempat agar kita tinggal bersama dengan Dia selamanya (Yohanes 14:3). Sebagai penghuni bumi ini, walaupun kita mungkin akan mengalami ketidakpastian dan perubahan, kita boleh sentiasa bersekutu dengan Tuhan setiap hari dan di mana sahaja.