Pada tahun 2019, Syarikat Bas Oxford melancarkan satu perkhidmatan yang dipanggil “Chatty Bus” (Bas Sembang) dan menjadi popular dengan serta-merta. Ia merupakan sebuah bas yang dinaiki oleh beberapa orang yang ditetapkan untuk berbual-bual dengan penumpang lain yang berminat dengan perkhidmatan ini. Langkah ini dimulakan sebagai respons kepada penyelidikan kerajaan yang mendapati bahawa 30% rakyat Britain meluangkan masa sekurang-kurangnya sekali seminggu tanpa perbualan yang bermakna. 

Sebilangan besar kita mungkin mengalami kesunyian disebabkan tidak mempunyai seseorang untuk diajak berbual pada waktu kita memerlukannya. Ketika saya memikirkan perbualan yang penting dalam hidup saya, saya teringat akan perbincangan yang penuh kasih. Detik-detik itu memberi saya kegembiraan dan dorongan, serta membantu saya menjalin hubungan yang lebih mendalam.

Dalam pengakhiran surat Paulus kepada jemaah di Kolose, dia mendorong para pembacanya dengan menuliskan prinsip-prinsip hidup yang tulen bagi orang yang percaya kepada Yesus, termasuk cara percakapan kita yang dapat menunjukkan kasih kepada semua orang yang kita temui. Rasul Paulus menulis, “Hendaklah percakapan kamu menyeronokkan dan menarik” (4:6). Ini mengingatkan para pembacanya bahawa bukan sekadar penggunaan kata-kata, tetapi kualiti kata-kata yang “menyeronokkan dan menarik”. Dengan demikian barulah mereka mampu menjadi dorongan sebenar kepada orang lain. 

Lain kali apabila anda berpeluang mengadakan perbualan yang bermakna dengan teman, rakan sekerja, bahkan orang asing yang duduk di sebelah anda dalam bas atau di ruang menunggu, carilah cara agar masa tersebut membawa berkat dalam hidup anda dan orang yang anda bertemu.