Hari itu ialah hari Ahad—hari yang kini digelar Minggu Palma. Memang tidak dipertikaikan bahawa ini bukan kunjungan pertama Yesus ke Yerusalem. Sebagai orang Yahudi yang taat, Dia akan pergi ke kota itu setiap tahun kerana 3 perayaan besar (Lukas 2:41-42; Yohanes 2:13; 5:1). Selama 3 tahun sebelumnya, Kristus juga melayani dan mengajar firman Tuhan di Yerusalem. Tetapi pada hari Ahad itu, kedatangan-Nya ke kota sangat berbeza.

Dengan menunggang seekor keldai muda ke Yerusalem semasa ribuan penziarah masuk ke kota, Yesus menjadi pusat perhatian (Matius 21:9-11). Mengapakah Dia memilih tempat yang menonjol di hadapan ribuan orang sedangkan Dia sengaja tidak menonjolkan diri selama 3 tahun sebelumnya? Mengapakah Dia menerima perisytiharan rakyat bahawa Dia ialah Raja hanya 5 hari sebelum kematian-Nya?

Matius mencatatkan bahawa hal ini terjadi supaya genaplah apa yang dinubuatkan oleh nabi 500 tahun yang lalu (Matius 21:4-5) bahawa raja yang dipilih Tuhan akan datang ke Yerusalem dengan “kemegahan dan kemenangan, tetapi dengan kerendahan hati, dia datang dengan menunggang keldai” (Zakharia 9:9; lihat juga Kejadian 49:10-11).

Ini merupakan cara yang sangat luar biasa bagi seorang raja yang menang memasuki sebuah kota. Raja-raja penakluk biasanya menunggang kuda jantan yang perkasa. Tetapi Yesus datang bukan dengan menunggang kuda perang. Ini menunjukkan sifat Yesus sebagai raja. Dia datang dengan lemah lembut dan rendah hati. Yesus datang bukan untuk berperang, tetapi memberitakan kesejahteraan, mewujudkan perdamaian antara Tuhan dengan kita (Kisah Rasul-Rasul 10:36; Kolose 1:20).