Novel Eli Wiesel yang bertajuk Night (Malam), secara jelas mendedahkan kengerian Holocaust (peristiwa pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi oleh rejim Nazi pimpinan Hitler). Berdasarkan pengalamannya sendiri di kem maut Nazi yang ngeri, kisah Wiesel mengimbas kembali kisah dalam kitab Keluaran. Semasa Musa dan orang Israel melarikan diri daripada perhambaan pada Hari Paska pertama (Keluaran 12), Wiesel pula menceritakan pihak Nazi menangkap pemimpin Yahudi setelah perayaan Hari Paska.
Sebelum kita mengkritik Wiesel dan ironinya, kita perlu ingat bahawa Alkitab mengandungi kisah dramatik yang serupa. Pada malam perayaan Paska, Yesus dijangka akan membebaskan umat Tuhan daripada penderitaan, sebaliknya mengizinkan diri-Nya ditangkap oleh orang-orang yang mahu membunuh-Nya.
Yohanes membawa kita ke adegan penting sebelum penangkapan Yesus, yang Dia gelisah atas apa yang bakal dialami-Nya. Pada Perjamuan Tuhan, Yesus meramalkan pengkhianatan yang bakal dialami-Nya (Yohanes 13:21). Kemudian dengan tindakan yang hampir tidak dapat kita fahami, Kristus melayani orang yang mengkhianati Dia dengan memberinya roti. Kisah itu tercatat seperti ini: “Yudas menerima roti itu, lalu segera keluar. Hari sudah malam” (ayat 30). Ketidakadilan terbesar dalam sejarah sedang berlaku, namun Yesus membuat pengisytiharan ini, “Sekarang Anak Manusia dimuliakan, dan Allah pun dimuliakan melalui Dia” (ayat 31). Dalam masa beberapa jam lagi, pengikut-pengikut-Nya akan mengalami kepanikan, kekalahan dan kekecewaan. Akan tetapi Yesus melihat rancangan Tuhan terjadi seperti yang telah difirmankan.
Ketika kegelapan seolah-olah telah menang, kita boleh mengingat kembali bahawa Tuhan menghadapi malam gelap-Nya dan mengatasinya. Dia berjalan bersama-sama kita. Hari bukannya akan selalu gelap.