Ketika jemaah menyanyikan lagu-lagu pujian bersama-sama sempena kebaktian pujian dan penyembahan yang dihadiri oleh pelbagai generasi, ramai orang mengalami sukacita dan damai. Tetapi ini bukan halnya bagi seorang ibu yang kelelahan. Sambil menggoyang-goyang bayinya yang hampir menangis, dia memegang buku lagu untuk anaknya yang berusia 5 tahun dan berusaha untuk menghalang anak kecilnya yang baru tahu berjalan daripada melarikan diri. Kemudian seorang lelaki tua yang duduk di belakangnya menawarkan diri untuk membawa anaknya berjalan-jalan di sekitar gereja. Seorang wanita muda juga membantu dia memegang buku lagu untuk anak sulungnya. Dalam masa 2 minit, perasaan ibu itu berubah. Kini dia dapat menghembus nafas, memejamkan matanya, dan menyembah Tuhan.
Tuhan selalu mengharapkan agar semua umat-Nya menyembah Dia, baik lelaki, perempuan, tua, muda, orang yang telah lama percaya Yesus, mahupun yang baru percaya. Ketika Musa memberkati suku-suku Israel sebelum mereka memasuki tanah perjanjian, dia menggesa, “lelaki, perempuan, kanak-kanak, dan orang asing yang tinggal di kota kamu berkumpul, supaya semua orang akan mendengar pembacaan Taurat dan belajar menghormati TUHAN” (Ulangan 31:12). Kita memuliakan Tuhan ketika kita membantu umat-Nya menyembah Dia bersama-sama tanpa mengira keadaan hidup kita.
Pada pagi itu di dalam gereja, si ibu, lelaki tua dan wanita muda masing-masing mengalami kasih Tuhan melalui tindakan memberi dan menerima. Mungkin pada hari lain anda berada di gereja, anda juga dapat memperpanjang kasih Tuhan dengan menawarkan bantuan, atau menjadi orang yang menerima bantuan.