Seorang anak perempuan kecil meranduk anak sungai yang cetek sambil diperhatikan oleh ayahnya. But getahnya mencecah lututnya. Ketika dia meredah hilir sungai, air semakin dalam sehingga masuk ke dalam butnya. Apabila dia tidak dapat membuat langkah seterusnya, dia berteriak, “Ayah, aku tersangkut!” Dengan 3 langkah sahaja, ayahnya berada di sisi dan menariknya ke tebing sungai yang berumput. Anak itu menanggalkan butnya dan ketawa sambil menuangkan air dari but.
Setelah Tuhan menyelamatkan pemazmur Daud daripada musuh-musuhnya, dia meluangkan waktu sejenak untuk duduk, “menanggalkan butnya” dan mengizinkan kelegaan memenuhi jiwanya. Dia menulis lagu untuk menyatakan perasaannya. Dia berkata, “Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, dan Dia menyelamatkan aku daripada musuhku” (2 Samuel 22:4). Dia memuji Tuhan sebagai pelindung, kubu yang kuat, perisai dan pembela (ayat 2-3). Kemudian dia menuliskan respons Tuhan yang indah: Bumi bergegar. Tuhan turun dari syurga. Kilat terpancar dari hadirat-Nya. Suara-Nya seperti guntur, dan Dia menarik pemazmur keluar dari air yang dalam (ayat 8, 10, 13-15, 17).
Mungkin hari ini anda merasakan tentangan di sekeliling anda. Mungkin anda terjebak dalam dosa yang membuat anda sukar untuk maju secara rohani. Renungkan bagaimana Tuhan telah menolong anda pada masa lalu, kemudian pujilah Dia dan mintalah agar Dia melakukannya sekali lagi! Bersyukurlah kepada-Nya, terutamanya kerana Dia menyelamatkan anda dengan membawa anda ke dalam Pemerintahan-Nya (Kolose 1:13).