Burung madu yang boleh ditemukan di Australia berada dalam masalah kerana makhluk kecil ini kehilangan bunyi. Walaupun dahulunya spesies ini banyak, tetapi sekarang hanya tinggal 300 ekor. Dengan bilangan yang begitu sedikit sebagai objek penyelidikan, burung madu jantan semakin melupakan nyanyian uniknya sehingga gagal menarik pasangan.
Syukurlah, penyokong pemuliharaan merancang untuk menyelamatkan burung madu dengan bernyanyi kepada makhluk ini. Atau, lebih tepat lagi, mereka memainkan rakaman nyanyian burung madu lain supaya burung ini dapat belajar semula lagu hatinya. Ketika burung jantan bernyanyi lagi dan menarik burung betina, harap-harap spesies ini akan membiak sekali lagi.
Nabi Zefanya berbicara kepada bangsa yang bermasalah. Dengan begitu banyak keruntuhan akhlak berlaku dalam kalangan mereka, dia mengumumkan bahawa penghakiman Tuhan akan datang (Zefanya 3:1-8). Kemudian, ketika semua nubuat ini terjadi berikutan dengan penangkapan dan pembuangan orang Israel, bangsa ini turut kehilangan lagu mereka (Mazmur 137:4). Tetapi Zefanya menubuatkan bahawa tiba masanya Tuhan akan berhenti menghukum umat-Nya, datang kepada bangsa yang hancur ini, mengampuni dosa-dosa mereka dan bernyanyi kepada mereka: “TUHAN gembira dan bersukacita kerana kamu; Dia memberi kamu hidup baru kerana Dia mengasihi kamu. Kamu menyukakan hati-Nya, maka Dia akan menyanyi dengan gembira” (Zefanya 3:17). Hasilnya, lagu hati bangsa itu dipulihkan (ayat 14).
Sama ada disebabkan ketidaktaatan kita sendiri ataupun ujian hidup, kita juga boleh kehilangan lagu hati kita yang membawa sukacita. Tetapi ada Suara yang menyanyikan lagu pengampunan dan kasih untuk kita. Marilah mendengar melodi-Nya dan bernyanyi bersama.