Jam menunjukkan pukul 3 pagi di hospital rawatan penyakit akut (penyakit yang muncul dengan tiba-tiba). Seorang pesakit yang risau menekan butang panggilan untuk kali ke-4 dalam masa sejam. Jururawat syif malam menjawab tanpa berkeluh. Tidak lama kemudian, pesakit lain menjerit meminta perhatian. Jururawat itu tidak terkejut. Dia meminta bertugas sebagai syif malam 5 tahun yang lalu untuk mengelakkan kesibukan hospital pada siang hari. Kemudian realiti melanda. Kerja syif malam sering bererti dia harus mengambil tugas tambahan seorang diri seperti mengangkat dan memusingkan pesakit di katil. Ini juga bererti dia harus memantau keadaan pesakit dengan teliti supaya doktor dapat diberitahu dengan serta-merta sekiranya pesakit berada dalam kecemasan.

Walaupun jururawat ini bersemangat dalam tugasnya kerana persahabatan yang rapat dengan rakan-rakan syif malam yang lain, dia masih mengalami kesukaran untuk mendapatkan tidur yang secukupnya. Dia sering meminta gereja mendoakannya kerana menyedari kepentingan pekerjaannya. “Puji Tuhan, doa-doa mereka membawa perubahan.”

Pujiannya baik dan tepat bagi petugas malam, demikian juga bagi setiap kita. Pemazmur menulis, “Mari, pujilah TUHAN, hai semua hamba TUHAN, yang berbakti di Rumah-Nya pada waktu malam. Tadahlah tangan kamu sambil berdoa di Rumah TUHAN, dan pujilah TUHAN” (Mazmur 134:1-2).

Mazmur ini, yang ditulis untuk orang Lewi yang melayani sebagai penjaga Rumah Tuhan, menghargai kepentingan tugas mereka yang melindungi Rumah Tuhan siang dan malam. Di dunia kita yang selalu bergerak, wajarnya kita berkongsi mazmur ini terutama kepada para petugas malam, namun setiap kita juga boleh memuji Tuhan pada malam hari. Seperti yang dinyatakan oleh pemazmur, “Semoga TUHAN yang di Sion memberkati kamu, TUHAN yang mencipta langit dan bumi” (ayat 3).