Sewaktu anak perempuan saya masih sangat kecil, saya sering menamakan benda-benda yang ditemuinya. Saya akan mengenal pasti objek atau membenarkan dia menyentuh sesuatu yang tidak dikenalinya dan menyebut perkataan tersebut untuknya. Cara ini membuat dia memahami perbendaharaan kata terhadap dunia luas yang sedang diterokainya. Walaupun saya dan suami mungkin secara lazimnya menjangkakan (atau mengharapkan) perkataan pertamanya adalah mama atau papa, tetapi pada suatu hari dia mengejutkan kami dengan perkataan pertama yang sangat berbeza: mulut kecilnya membisikkan caya―perkataan cahaya yang baru sahaja saya berkongsi dengannya, sebutannya salah tetapi comel kedengaran.

Cahaya adalah salah satu perkataan pertama Tuhan yang direkodkan untuk kita dalam Alkitab. Sewaktu Roh Tuhan melayang-layang di atas bumi yang gelap, belum berbentuk dan kosong, Tuhan memperkenalkan cahaya ke dalam penciptaan-Nya dengan berkata, “Hendaklah ada cahaya” (Kejadian 1:3). Dia berkata cahaya itu baik, dan ini disaksikan di seluruh Alkitab. Pemazmur berkata, firman TUHAN memberikan cahaya dan memberikan pengertian (Mazmur 119:130), Yesus juga merujuk kepada Dirinya sebagai “cahaya bagi dunia,” iaitu cahaya yang memberikan hidup (Yohanes 8:12).

Perkataan pertama Tuhan dalam karya penciptaan adalah memberikan cahaya. Itu bukan kerana Dia memerlukan cahaya untuk bekerja; tetapi cahaya itu adalah untuk kita. Cahaya membolehkan kita melihat Dia dan mengenal pasti karya tangan-Nya dalam penciptaan di sekeliling kita, untuk membezakan apa yang baik daripada yang jahat, dan mengikut Yesus selangkah demi selangkah di dunia yang luas ini.