Victor beransur-ansur menjadi ketagih dengan pornografi. Ramai kawannya menonton filem lucah, dan dia terjebak ke dalamnya juga. Tetapi sekarang dia menyedari tindakannya itu sangat salah. Dia berdosa terhadap Tuhan dan perkara itu menghancurkan hati isterinya. Dia bersumpah untuk mengambil langkah pencegahan dalam hidupnya supaya dia tidak akan menonton filem lucah lagi. Namun dia berasa takut sekiranya ini sudah terlambat. Dapatkah perkahwinannya diselamatkan? Adakah dia akan bebas dan diampuni sepenuhnya?

Musuh kita, Iblis, mempersembahkan godaan seolah-olah ini bukan satu masalah yang besar. Semua orang melakukannya. Apa masalahnya? Tetapi ketika kita terjerumus dalam perangkapnya, dia menukar langkah. Sudah terlambat! Anda sudah terlanjur jauh! Anda sudah tidak mempunyai harapan!

Musuh akan mengatakan apa sahaja untuk memusnahkan kita ketika kita terlibat dalam peperangan rohani. Yesus berkata, “Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh. Dia tidak pernah memihak kebenaran, kerana tidak ada kebenaran padanya. Apabila Iblis berdusta, hal itu memang sudah sewajarnya, kerana dia pendusta dan asal segala dusta” (Yohanes 8:44).

Jika Iblis itu pendusta, maka kita sama sekali tidak patut mendengar kata-katanya. Walaupun ketika dia mengatakan dosa kita bukan masalah besar, ataupun apabila dia berkata kita sudah tidak mempunyai harapan. Semoga Yesus menolong kita menyingkirkan kata-kata si Jahat itu dan mendengar kata Tuhan. Hati kita boleh bertenang dalam janji-Nya: “Jika kamu taat kepada ajaran-Ku, kamu benar-benar pengikut-Ku. Kamu akan mengenal Allah. Oleh itu kamu akan dibebaskan” (ayat 31-32).