Setelah saya menjadi orang yang percaya kepada Yesus, saya berkongsi Injil dengan ibu saya. Dia tidak mengambil keputusan untuk mempercayai Yesus, seperti yang saya harapkan, sebaliknya dia berhenti bercakap dengan saya selama setahun. Pengalamannya yang buruk dengan orang-orang yang mendakwa diri sebagai pengikut Yesus menyebabkan dia tidak mempercayai orang-orang yang percaya kepada Kristus. Saya berdoa untuknya dan setiap minggu berusaha menjangkaunya melalui telefon. Roh Kudus menghibur saya dan terus bekerja dalam hati saya sewaktu ibu terus tidak mahu bercakap dengan saya. Akhirnya, apabila dia menjawab panggilan telefon saya, saya bertekad untuk mengasihinya dan berkongsi kebenaran Tuhan dengannya setiap kali saya berpeluang. Berbulan-bulan selepas kami berdamai, dia berkata saya telah berubah. Hampir setahun kemudian, dia menerima Yesus sebagai Penyelamatnya, hubungan kami pun semakin erat hasil daripada itu.
Orang yang percaya kepada Yesus mempunyai hadiah terbesar yang diberikan kepada manusia, iaitu Kristus. Rasul Paulus berkata “berita tentang Kristus tersebar seperti bau yang harum semerbak ke merata tempat (2 Korintus 2:14). Dia merujuk kepada mereka yang berkongsi Injil sebagai “bau kemenyan yang harum” kepada mereka yang percaya, tetapi mengakui kita adalah bau kematian bagi mereka yang menolak Yesus (ayat 15-16).
Setelah kita menerima Kristus sebagai Penyelamat kita, kita mempunyai keistimewaan untuk menggunakan masa yang terhad di bumi agar kebenaran-Nya yang mengubah kehidupan disebarkan sementara kita mengasihi orang lain. Walaupun pada masa yang paling sukar dan kesunyian, kita boleh mempercayai Dia akan memberikan apa yang kita perlukan. Tanpa mengira pengorbanan yang kita harus tanggung, adalah berbaloi untuk berkongsi berita baik Tuhan.