Pada tahun 1799, Conrad Reed yang berumur 12 tahun menjumpai seketul batu besar yang berkilauan di sungai yang mengalir melalui ladang kecil keluarganya di Carolina Utara. Dia membawa batu itu pulang ke rumah, menunjukkannya kepada ayahnya, seorang pendatang miskin yang bekerja sebagai petani. Ayahnya tidak memahami potensi serta nilai batu itu dan menggunakannya sebagai penyendal pintu. Keluarga itu berjalan melewati batu itu selama bertahun-tahun.
Akhirnya, batu Conrad itu sebenarnya satu ketulan emas seberat 7.7 kilogram. Ini telah menarik perhatian seorang tukang emas tempatan. Tidak lama kemudian keluarga Reed menjadi kaya, dan ladang mereka menjadi tapak penemuan emas pertama yang terbesar di Amerika Syarikat.
Kadang-kadang kita berjalan melewati berkat, kita membuat rancangan menurut cara kita sendiri. Selepas Israel dibuang negeri ke Babel kerana tidak mematuhi Tuhan, Dia mengisytiharkan pembebasan mereka sekali lagi. Tetapi Dia juga mengingatkan mereka tentang perkara yang terlepas oleh mereka. “Akulah TUHAN, Allah kamu,” kata-Nya kepada mereka, “Aku mengajar kamu apa yang baik bagi kamu, Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh. Sekiranya kamu memperhatikan hukum-Ku, tentu kamu menerima berkat yang tidak putus-putus seperti sungai yang tidak pernah kering. Kamu akan terus-menerus berjaya seperti ombak laut yang tidak berhenti.” Tuhan kemudian mendorong mereka mengikut-Nya, meninggalkan gaya hidup lama dan masuk ke dalam kehidupan baru: “Keluarlah dan larilah dari Babel! Isytiharkanlah berita itu dengan sorak gembira” (Yesaya 48:17-18, 20).
Maksud meninggalkan Babel, bagi zaman itu dan masa sekarang adalah kita harus meninggalkan kehidupan berdosa dan “pulang ke rumah” Tuhan, yang ingin sekali memberikan kebaikan kepada kita―hanya jika kita taat dan mengikut-Nya!