Pada bulan Ogos 2020, penduduk di Olten, Switzerland, terkejut apabila mendapati mereka dilanda salji coklat! Rupanya satu kerosakan dalam sistem pengudaraan kilang coklat tempatan telah menyebabkan zarah coklat tersebar ke udara. Akibatnya, debu serpihan coklat yang boleh dimakan meliputi kereta dan jalan raya sehingga seluruh bandar berbau wangi seperti kedai gula-gula.

Apabila saya memikirkan makanan lazat yang jatuh dari langit “secara ajaib”, saya teringat cara Tuhan memberikan keperluan untuk orang Israel dalam kitab Keluaran. Berikutan pelarian dramatik mereka dari Mesir, bangsa Israel menghadapi cabaran yang besar di padang gurun, terutamanya pada waktu mereka kekurangan makanan dan air. Tuhan yang hati-Nya tergerak melihat kesusahan mereka, berjanji untuk “menghujani [mereka] semua dengan makanan dari langit” (Keluaran 16:4). Pada keesokan pagi, lapisan yang tipis dan halus seperti embun yang beku terdapat di atas padang gurun. Peruntukan harian ini, yang dikenali sebagai manna, berterusan selama 40 tahun yang berikutnya.

Apabila Yesus datang ke bumi, orang mula percaya Dia telah dihantar dari Tuhan apabila Dia secara ajaib memberikan roti untuk ramai orang (Yohanes 6:5-14). Tetapi Yesus mengajar bahawa Dia sendiri adalah “roti yang memberikan hidup” (ayat 35), yang dihantar bukan sahaja untuk memberi makanan sementara tetapi kehidupan kekal (ayat 51).

Bagi kita yang lapar akan makanan rohani, Yesus memberikan tawaran kehidupan yang kekal bersama-sama Tuhan. Semoga kita percaya bahawa Dia datang untuk memuaskan keinginan manusia yang paling mendalam.