Saya tidak dapat melupakan waktu saya melawat rumah Simon. Kami berjalan di bawah langit luas diterangi bintang berkilauan di Nyahururu, Kenya, menuju ke rumahnya yang sederhana untuk makan malam. Lantai beralaskan tanah dan cahaya tanglung mencerminkan kehidupan Simon yang serba kekurangan. Saya tidak ingat apa yang dihidangkan pada malam itu. Apa yang tidak boleh dilupakan adalah sukacita Simon bahawa kami merupakan tetamunya. Layanan Simon yang baik, lembut dan mesra adalah seperti Yesus—tidak mementingkan diri sendiri, menyentuh kehidupan, dan menggembirakan.
Dalam 1 Korintus 16:15-18, Paulus menyebut tentang keluarga Stefanus (ayat 15) yang terkenal dengan layanan mereka. “Dengan sepenuh hati mereka melayani umat Allah” (ayat 15). Walaupun pelayanan mereka mungkin termasuk perkara yang ketara (ayat 17), impak itu adalah seperti yang ditulis oleh Paulus, “Mereka sungguh menggembirakan aku sebagaimana mereka sudah menggembirakan kamu” (ayat 18).
Apabila kita mempunyai peluang untuk berkongsi dengan orang lain, kita boleh memberi perhatian kepada perkara-perkara seperti makanan, tempat makan dan perkara-perkara lain yang sesuai untuk kesempatan itu. Tetapi kita kadang-kadang lupa bahawa walaupun “apa” dan “di mana” itu penting, semua ini bukanlah perkara yang paling penting. Hidangan lazat yang tidak dapat dilupakan adalah hebat dan suasana yang baik memainkan peranan tetapi makanan tidak berupaya untuk memberi khasiat sepenuhnya dan memberi galakan. Kegembiraan sejati mengalir daripada Tuhan dan merupakan soal hati; ia menjangkau hati orang lain dan akan terus memberikan khasiat walaupun jamuan telah lama berlalu.