Pemilik tapak semaian bersiap sedia untuk menjual pokok pic. Dia mempertimbangkan pelbagai pendekatan. Haruskah dia menyusun karung guni yang berisi anak pokok berdaun ini dalam pameran yang cantik? Haruskah dia menyediakan katalog yang berwarna-warni untuk memaparkan pokok pic dalam pelbagai musim pertumbuhan? Akhirnya dia menyedari apa yang benar-benar dapat menjual pokok pic—buah pic itu sendiri yang dihasilkan oleh pokok pic! Buah pic berbau manis, kulitnya berwarna oren tua dan berbulu gebu. Cara terbaik untuk menjual pokok pic adalah memetik buah yang masak, membelahnya sehingga jus pic meleleh ke bawah lengan anda, dan memberikan sepotong kepada pelanggan. Apabila mereka merasakan buah pic itu, mereka akan membeli pokoknya.

Tuhan mendedahkan diri-Nya melalui pembungkusan buah rohani dalam kehidupan para pengikut-Nya, iaitu kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, kelembutan dan penguasaan diri (Galatia 5:22-23, AVB). Apabila orang-orang yang percaya kepada Yesus mempamerkan buah Roh ini, orang lain pun akan mahu“mengecap” buah itu. Oleh itu, mereka akan mencari Sumber buah yang begitu menarik.

Buah Roh merupakan hasil luaran daripada hubungan dalaman yang dikerjakan oleh Roh Kudus dalam kehidupan kita. Buah Roh merupakan bungkusan yang membawa orang lain untuk mengenal Tuhan yang kita wakili. Seperti buah pic yang menyerlah daripada daun-daun hijau pokok, demikian juga buah Roh mengumumkan kepada dunia yang kelaparan, “Di sini ada makanan! Di sini ada kehidupan! Marilah dan dapatkan jalan keluar daripada keletihan dan kekecewaan. Datanglah dan bertemulah dengan Tuhan!”