Saya sering diberi keistimewaan untuk memimpin kem retret rohani. Meluangkan waktu selama beberapa hari untuk berdoa dan merenung sangat memperkaya hidup. Semasa program dijalankan, kadang-kadang saya meminta para peserta melakukan satu latihan: “Bayangkan hidup anda sudah berakhir dan berita kematian anda diterbitkan di surat akhbar. Apakah yang anda ingin katakan?” Hasilnya, sebilangan peserta mengubah keutamaan hidup mereka, dengan tujuan untuk mengakhiri hidup mereka dengan baik.
Surat kepada Timotius yang kedua ini mengandungi kata-kata terakhir daripada Rasul Paulus. Walaupun Paulus mungkin baru berusia sekitar enam puluhan, malah pernah berhadapan dengan risiko maut , dia dapat merasakan hidupnya hampir berakhir (2 Timotius 4:6). Tiada lagi perjalanan misi atau peluang untuk menulis surat kepada gereja-gereja. Dia mengimbas hidupnya dan berkata, “Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir. Aku tetap setia kepada Kristus sampai akhir” (ayat 7). Walaupun Paulus bukan orang yang sempurna (1 Timotius 1:15-16), dia menilai dia mengamalkan hidup yang tetap setia kepada Tuhan dan Injil. Tradisi gereja mengatakan bahawa Paulus dihukum mati tidak lama selepas itu.
Merenungkan hari-hari terakhir membantu kita melihat dengan jelas perkara yang penting sekarang. Kata-kata Paulus boleh menjadi teladan yang baik untuk kita ikuti. Berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan. Sampai di garis akhir. Tetap setia kepada Kristus sampai akhir. Ini kerana pada akhirnya, perkara yang terpenting adalah kita tetap setia kepada Tuhan dan jalan-Nya sebab Dia telah menyediakan apa yang kita perlukan untuk hidup, berjuang dalam pertempuran rohani dan menyelesaikan hidup ini dengan baik.