Suhu di Colorado, tempat tinggal kami berubah dengan cepat—kadang-kadang hanya dalam beberapa minit. Oleh itu, suami saya, Dan, ingin tahu tentang perbezaan suhu di dalam dan di sekitar rumah kami. Sebagai penggemar peralatan, dia teruja untuk mengeluarkan “mainan” terbarunya, iaitu termometer yang menunjukkan bacaan suhu di empat “zon” di sekitar rumah kami. Saya mengusik dengan berkata inilah suatu alat “bodoh”, tetapi saya terkejut apabila mendapati diri saya juga sering memeriksa suhu. Saya teruja melihat perbezaan suhu di dalam dan di luar rumah.

Yesus menggunakan suhu untuk menggambarkan keadaan jemaah yang “suam-suam kuku” di Laodikia, salah satu daripada tujuh kota terkaya yang disebutkan dalam kitab Wahyu. Sebagai pusat perbankan, pakaian dan perubatan yang sibuk, masalah utama yang dihadapi oleh kota ini adalah kekurangan bekalan air, sehingga ia memerlukan saluran air untuk membawa air dari sumber mata air panas. Namun, ketika air tiba di Laodikia, air sudah tidak panas mahupun sejuk.

Jemaah juga suam-suam kuku. Yesus berkata, “Aku mengetahui apa yang kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu tidak sejuk dan tidak panas juga. Alangkah baiknya jika kamu salah satu daripadanya. Tetapi kerana kamu suam-suam kuku, Aku akan meludahkan kamu” (Wahyu 3:15-16). Seperti yang dikatakan oleh Yesus, “Aku menegur dan menghukum orang yang Aku kasihi. Oleh itu kamu harus bersungguh-sungguh, dan juga bertaubat daripada dosa” (Wahyu 3:19).

Panggilan Sang Penyelamat ini tetap mendesak bagi kita. Adakah anda tidak panas atau tidak sejuk secara rohani? Terima teguran-Nya dan mintalah Dia menolong anda untuk hidup dengan iman yang bersungguh-sungguh dan bersemangat.