Roti kroisan, ladu, kari babi, dan pelbagai jenis makanan yang enak sedang menantikan orang yang menjumpai dan memasuki “Narrow Door Cafe” (Kafe Pintu Sempit). Kafe ini terletak di kota Tainan di Taiwan, secara luaran ia betul-betul merupakan satu lubang di dinding. Pintu masuknya seluas hampir 40 sentimeter (kurang daripada 16 inci)—sekadar cukup saiz orang biasa untuk menghimpit masuk laluannya! Namun di sebalik cabaran ini, kafe unik ini telah menarik ramai orang.
Adakah ini benar juga bagi pintu sempit yang dijelaskan dalam Lukas 13:22-30? Seorang bertanya kepada Yesus, “Tuan, sedikit sahajakah orang yang akan diselamatkan?” (ayat 23). Dalam jawapannya, Yesus mencabar orang itu “berusahalah sebaik-baiknya untuk masuk melalui pintu yang sempit” ke dalam Pemerintahan Tuhan (ayat 24). Pada dasarnya Dia bertanya, “Adakah kamu termasuk dalam orang-orang yang diselamatkan?” Yesus menggunakan analogi ini untuk mendesak orang Yahudi agar tidak sombong. Ramai antara mereka menyangka mereka pasti dimasukkan dalam Pemerintahan Tuhan kerana mereka keturunan Abraham atau kerana mereka mematuhi hukum Tuhan. Tetapi Yesus mencabar mereka memberi jawapan kepada Dia sebelum “tuan rumah … menutup pintu” (ayat 25).
Baik latar belakang keluarga kita mahupun perbuatan kita tidak dapat menjadikan kita benar di hadapan Tuhan. Hanya iman kepada Yesus yang dapat menyelamatkan kita daripada dosa dan kematian (Efesus 2:8-9; Titus 3:5-7). Pintu itu sempit, tetapi ia terbuka luas bagi semua orang yang percaya kepada Yesus. Dia mengajak kita pada hari ini untuk merebut peluang masuk melalui pintu yang sempit dan menuju Pemerintahan-Nya.