Setiap pagi Glen akan membeli kopi di kafe pandu lalu yang berdekatan. Setiap hari dia juga membelanjai pemandu lain yang beratur di belakang keretanya, sambil meminta juruwang untuk mengucapkan salam sejahtera kepada orang itu. Glen tidak mengenal mereka. Dia pun tidak tahu bagaimana reaksi mereka; dia hanya percaya bahawa perbuatan ini adalah “perbuatan paling kecil yang dapat dilakukannya”. Bagaimanapun, ada sekali dia mendapat tahu tentang kesan perbuatannya itu ketika dia membaca sepucuk surat yang tidak diketahui nama pengirimnya kepada editor surat khabar tempatan. Dia menyedari bahawa kebaikannya yang pemurah pada 18 Julai 2017 telah mengubah hidup seorang pemandu yang berada di belakang keretanya: dia telah membatalkan rancangan asalnya yang ingin membunuh diri pada hari tersebut.
Glen memberi setiap hari kepada orang yang berada di belakang keretanya tanpa menerima sebarang penghargaan. Sekali sahaja dia mendapat sekilas bayangan tentang kesan pemberian kecilnya itu melalui surat itu. Ketika Yesus berkata bahawa “jangan sampai tangan kirimu tahu apa yang dilakukan oleh tangan kananmu” (Matius 6:3, AVB), Dia sebenarnya mendorong kita memberi seperti Glen, tanpa perlu diiktiraf.
Ketika kita memberi demi kasih kita kepada Tuhan, tanpa mempedulikan untuk menerima pujian daripada orang lain, kita boleh percaya bahawa pemberian kita—sama ada kecil atau besar—akan digunakan oleh-Nya untuk memenuhi keperluan orang yang menerimanya.