Pada November 1742, satu rusuhan tercetus di Staffordshire, England untuk membantah pemberitaan Injil yang dikhutbahkan oleh Charles Wesley. Nampaknya Charles dan abangnya, John telah mengubah beberapa tradisi gereja yang lama, dan hal tersebut dianggap melampau bagi ramai penduduk bandar tersebut.
Ketika John Wesley terdengar akan rusuhan itu, dia bergegas ke Staffordshire untuk menolong adiknya. Tidak lama kemudian kumpulan perusuh yang haru-biru mengepung tempat tinggal John. Dengan berani, dia bersemuka dengan pemimpin-pemimpin rusuhan tersebut, bercakap kepada mereka dengan sebegitu tenang sehingga kemarahan seorang demi seorang menjadi reda.
Budi pekerti John Wesley yang lembut dan tenang telah menenteramkan kumpulan perusuh yang berang. Bagaimanapun, kelembutan itu tidak wujud secara semula jadi dalam hatinya, tetapi itu merupakan hati Penyelamat yang diturut Wesley dengan amat akrab. Yesus berkata, “Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan” (Matius 11:29). Perintah untuk berlemah lembut ini menjadi kekuatan sebenar di sebalik cabaran Paulus kepada kita: “Hendaklah kamu sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar. Tunjukkanlah kasihmu dengan saling membantu” (Efesus 4:2).
Sebagai manusia, kesabaran sedemikian adalah mustahil. Tetapi dengan buah Roh Kudus dalam kita, hati Kristus yang lemah lembut boleh mengekhaskan kita dan memperlengkapi kita untuk menghadapi dunia yang jahat. Ketika kita berbuat demikian, kita memenuhi kata-kata Paulus, “Biar sikapmu yang lemah lembut diketahui oleh semua orang” (Filipi 4:5, AVB).