Ketika bercuti pada bulan Oktober, saya terpaksa menghabiskan beberapa hari pertama untuk pulih di bilik kami ketika saya menderita kesakitan kronik. Air muka saya menjadi mendung seperti langit. Ketika saya akhirnya memberanikan diri untuk menikmati pemandangan bersama dengan suami untuk melawat sebuah rumah api yang berdekatan, awan hitam menghalang kebanyakan pemandangan kami. Namun begitu, saya masih dapat menangkap beberapa gambar pergunungan yang kelam dari ufuk yang suram.
Kemudian, hujan lebat pula menyebabkan kami berkurung dengan perasaan kecewa di bilik malam itu, lalu saya menyelak-nyelak gambar digital kami. Saya menarik nafas kehairanan, sambil menghulurkan kamera itu kepada suami saya. “Pelangi!” kata saya. Oleh sebab saya tertumpu pada kesuraman sebelumnya, saya terlepas perhatian saat Tuhan menyegarkan jiwa saya yang lelah dengan harapan sekali imbas yang tidak terjangka (Kejadian 9:13-16).
Penderitaan fizikal atau emosi dapat menjunamkan kita ke jurang keputusasaan. Oleh sebab kita amat perlu disegarkan, kita merindui peringatan tentang hadirat Tuhan yang tetap dan kuasa-Nya yang tidak terhingga (Mazmur 42:2-4). Ketika kita mengingati semula akan pertolongan Tuhan yang tidak terkira banyaknya kepada diri kita dan orang lain pada masa lalu, kita yakin bahawa harapan kita adalah terjamin di dalam-Nya walaupun betapa resah gelisah kita pada masa itu (ayat 4–6).
Ketika sikap buruk atau keadaan sukar mengaburi pandangan kita, Tuhan menjemput kita berseru kepada-Nya, membaca Alkitab, dan yakin akan kesetiaan-Nya (ayat 8-12). Ketika kita mencari Tuhan, kita boleh berharap bahawa Dia akan membantu kita menemukan pelangi harapan yang melengkungi hari-hari kita yang paling gelap.