Tuhan yang penyayang, terima kasih atas teguran-Mu yang lembut demi menarik perhatianku. Dengan rendah hati aku membisikkan kata-kata yang sukar itu. Aku begitu sombong, kerana berfikir dapat melakukan semuanya seorang diri. Selama berbulan-bulan aku mengecapi kejayaan dalam projek-projek kerja, dan pujian demi pujian telah melalaikan saya untuk mempercayai keupayaan saya sendiri dan menolak pimpinan Tuhan, sehinggalah sebuah projek yang amat mencabar telah menyedarkan saya bahawa saya tidaklah sepintar yang saya fikirkan. Hati yang sombong telah menipu saya sehingga saya percaya bahawa saya tidak memerlukan pertolongan Tuhan.

Kerajaan Edom yang kuat menerima disiplin daripada Tuhan atas kesombongannya. Kedudukan negara ini yang terletak di tengah-tengah kawasan pergunungan menjadikannya seolah-olah kebal daripada musuh (Obaja 1:3). Edom juga merupakan negara yang makmur kerana berkedudukan di pusat laluan perdagangan yang strategik dan kaya dengan tembaga, sejenis komoditi yang sangat bernilai pada zaman dunia purba. Kerajaan ini penuh dengan perkara yang baik tetapi juga penuh dengan kesombongan. Warganya percaya bahawa kerajaan mereka tidak terkalahkan, walaupun mereka menindas umat Tuhan (ayat 10–14). Tetapi Tuhan menggunakan nabi Obaja untuk memberitahu mereka akan penghakiman-Nya. Pelbagai bangsa akan bangkit dan melawan Edom, dan kerajaan yang dahulunya berkuasa akan dikalahkan dalam penghinaan (ayat 1-2).

Kesombongan menipu kita sehingga kita berfikir bahawa kita dapat hidup sesuka hati tanpa Tuhan. Hal ini membuat kita berasa kebal terhadap kewibawaan, teguran dan kelemahan. Tetapi Tuhan memanggil kita merendahkan diri di hadapan-Nya (1 Petrus 5:6). Apabila kita berpaling daripada kesombongan dan bertaubat, Tuhan akan memimpin kita mempercayai-Nya dengan sepenuh hati.