Ketika sebuah syarikat menawarkan mata ganjaran sejumlah 1,000 batu penerbangan kerap bagi setiap sepuluh pembelian salah satu makanan mereka, seorang lelaki mendapati produk termurah mereka ialah puding coklat dalam cawan individu. Maka dia membeli lebih daripada dua belas ribu cawan puding. Bagi AS$3,000 yang telah dibelanjakan, dia mencapai status emas dan menerima tawaran batu udara seumur hidup untuk diri serta keluarganya. Dia juga menyumbangkan puding itu kepada badan amal, yang membolehkan dia mendapat pengecualian cukai sebanyak AS$800. Pintar sekali!

Yesus menceritakan sebuah perumpamaan yang kontroversial tentang seorang pengurus yang licik. Apabila dia dipecat, dia mengurangkan jumlah hutang orang yang berhutang kepada majikannya. Lelaki itu tahu bahawa dia dapat bergantung pada bantuan mereka nanti atas kebaikan yang dihulurkannya kepada mereka sekarang. Yesus bukannya memuji amalan perniagaan yang tidak beretika oleh pengurus itu, tetapi Dia tahu kita dapat belajar daripada kepintarannya. Yesus berkata, “Gunakanlah kekayaan dunia ini untuk mendapat sahabat, supaya apabila kekayaan dunia ini lenyap, kamu akan disambut ke dalam tempat kediaman yang abadi” (Lukas 16:9). Seperti “lelaki puding itu” menjadikan pencuci mulut yang berharga 25 sen kepada banyak penerbangan, begitu jugalah kita seharusnya menggunakan “kekayaan dunia” kita untuk mendapatkan “kekayaan sejati” (ayat 11).

Apakah kekayaan sejati itu? Yesus berkata, “berikan wangnya kepada orang miskin” dan anda “buatlah dompet yang tidak dapat rosak dan simpanlah harta kamu di syurga. Di situ harta kamu tidak akan berkurang, kerana pencuri tidak dapat masuk dan gegat tidak dapat merosakkannya” (12:33). Pelaburan kita tidak dapat memberi kita penyelamatan, tetapi ia dapat mengesahkan firman Tuhan ini, “Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu” (ayat 34, AVB).