Seorang ibu dari Colorado membuktikan dia akan berbuat apa sahaja untuk melindungi anaknya. Anak lelakinya yang berumur lima tahun sedang bermain di luar, tiba-tiba kedengaran anaknya itu menjerit. Dia bergegas keluar, dan betapa gerunnya dia melihat “teman sepermainan” anaknya yang tidak dijangka, iaitu seekor singa pergunungan. Kucing gergasi itu menindih anak kecil itu, dengan kepala si anak di dalam mulutnya. Si ibu mengumpulkan semangat pelindungnya untuk melawan singa itu dan mengumpil rahangnya demi menyelamatkan si anak. Tindakan kepahlawanan ibu itu mengingatkan kita bagaimana sifat keibuan digunakan dalam Alkitab untuk menggambarkan kasih sayang dan perlindungan Tuhan yang teguh terhadap anak-anak-Nya.

Tuhan secara lembut mengambil berat dan menghiburkan umat-Nya seperti induk helang menjaga anaknya yang masih kecil (Ulangan 32:10-11; Yesaya 66:13). Seperti seorang ibu yang sama sekali tidak akan melupakan anak susuan dan telah menjalinkan ikatan yang tidak terputuskan, Tuhan tidak sekali-kali melupakan umat-Nya atau selama-lamanya menahan belas kasihan-Nya daripada mereka (Yesaya 54:7–8). Akhir sekali, seperti induk burung memberikan perlindungan kepada anak-anaknya di bawah kepak sayap, Tuhan “akan menaungi [umat-Nya] dengan sayap-Nya” dan “kesetiaan-Nya akan melindungi dan membela” mereka (Mazmur 91:4).

Kadangkala kita berasa keseorangan, dilupakan dan terperangkap dalam genggaman pelbagai jenis pemangsa rohani. Semoga Tuhan menolong kita ingat bahawa Dia mengambil berat, menghiburkan dan membela kita dengan penuh belas kasihan.