Mengapa saya tidak dapat berhenti memikirkannya? Emosi saya kian kusut, sedih, rasa bersalah, marah dan keliru.

Beberapa tahun yang lalu, saya telah mengambil keputusan yang menyakitkan hati, iaitu memutuskan persahabatan dengan seseorang yang rapat dengan saya, selepas percubaan untuk menangani tingkah lakunya yang sangat menyakitkan, tetapi segala nasihat tidak diendahkan malah kesalahan itu dinafikan. Hari ini, setelah mendengar bahawa dia berkunjung ke bandar saya, fikiran saya asyik terkenang-kenang akan masa silam.

Ketika saya berusaha menenangkan fikiran, saya terdengar sebuah lagu yang berkumandang di radio. Lagu itu bukan sahaja mengungkapkan seksanya dikhianati, tetapi juga kerinduan yang sungguh-sungguh agar terjadi perubahan dan kesembuhan kepada orang yang telah menyebabkan kemudaratan itu. Air mata menggenangi mata saya sementara hati saya terusik sekali oleh lagu balada yang menyuarakan kerinduan terdalam saya sendiri.

“Kamu harus mengasihi orang lain dengan ikhlas,” tulis Paulus dalam Roma 12:9, satu peringatan bahawa bukan semua luahan cinta adalah sejati. Tetapi hati kita rindu sekali untuk mengetahui kasih sebenar, iaitu kasih yang tidak mementingkan diri sendiri atau memanipulasi, tetapi berbelas kasihan dan rela mengorbankan diri demi orang lain. Kasih yang tidak terdorong oleh nafsu untuk mengongkong orang lain, tetapi merupakan komitmen yang penuh sukacita terhadap kebaikan masing-masing (ayat 10–13).

Itulah khabar baiknya, yakni Injil. Disebabkan Yesus, kita akhirnya mengenal dan berkongsi kasih yang tulus ikhlas, kasih yang tidak akan memudaratkan kita (13:10). Kita bebas apabila kita hidup dalam kasih-Nya.