Busur istiadat dan anak panah yang dihiasi telah bergantung pada dinding rumah kami di Michigan selama bertahun-tahun. Saya mewarisinya daripada bapa saya, yang memperoleh cenderamata itu ketika kami melayani sebagai mubaligh di Ghana.
Kemudian suatu hari, seorang rakan dari Ghana datang menziarahi kami. Apabila dia terlihat anak panah itu, air mukanya sedikit pelik. Sambil menunjuk kepada sebuah objek kecil yang terikat padanya, dia berkata, “Ini objek pemujaan, sejenis azimat. Saya tahu benda ini tidak mempunyai kuasa, tetapi saya tidak akan menyimpannya di rumah saya.” Dengan segera kami memotong azimat itu dari anak panah tersebut dan membuangnya. Kami tidak mahu apa-apa pun penyembahan di rumah kami selain Tuhan.
Yosia, raja di Yerusalem, membesar dengan sedikit pengetahuan tentang kehendak Tuhan terhadap umat-Nya. Apabila imam besar menemukan kitab Taurat semula di dalam Rumah TUHAN yang sudah lama terbiar (2 Raja-Raja 22:8), Yosia ingin mendengarnya. Setelah mengetahui apa yang difirmankan Tuhan tentang penyembahan berhala, dengan segera dia memerintahkan perubahan besar-besaran supaya seluruh negara Yehuda mematuhi hukum Tuhan—perubahan yang jauh lebih drastik berbanding dengan hanya memotong azimat dari anak panah (lihat 2 Raja-Raja 23:3-7).
Orang percaya pada hari ini mempunyai lebih daripada apa yang dimilki Raja Yosia. Ya, banyak, jauh lebih banyak. Kita memiliki seluruh Alkitab untuk mengajar kita. Kita ada sesama kita. Lagipun, kita dipenuhi Roh Kudus, yang dapat mendedahkan perkara-perkara besar dan kecil, yang mungkin kita terlepas pandang.