Menurut Zhang, dia membesar “tanpa Tuhan, tanpa agama, tanpa apa-apa.” Pada tahun 1989 ketika memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bagi bangsanya, dia turut memimpin pelajar untuk mengadakan tunjuk perasaan secara aman. Namun, tunjuk perasaan tersebut bertukar menjadi tragedi berikutan campur tangan daripada kerajaan dan menyebabkan ratusan nyawa terkorban. Disebabkan pembabitannya dalam tunjuk perasaan itu, dia tergolong dalam senarai orang yang paling dikehendaki oleh pihak kerajaan di negaranya. Selepas dipenjarakan untuk tempoh singkat, dia melarikan diri ke sebuah perkampungan yang terpencil. Di situ dia bertemu dengan seorang petani tua yang memperkenalkan kepercayaan Kristian kepadanya. Wanita itu hanya memiliki senaskhah Injil Yohanes yang ditulis tangan tetapi dia buta huruf. Maka dia meminta Zhang membacakan Injil itu kepadanya. Ketika Zhang membacanya, wanita itu menjelaskan Injil kepadanya, dan setahun kemudian dia percaya kepada Yesus.
Atas segala kejadian hidup yang ditanggung olehnya, Zhang menyaksikan kuasa besar Tuhan yang memimpinnya kepada salib, dan dia telah secara langsung mengalami apa yang dinyatakan oleh Rasul Paulus dalam 1 Korintus, “berita itu menunjukkan kekuasaan Allah” (1:18). Apa yang dianggap orang ramai sebagai kebodohan atau kelemahan menjadi kekuatan bagi Zhang. Bagi sebilangan kita, ini juga adalah fikiran kita sebelum datang kepada Kristus. Bagaimanapun, melalui Roh Kudus, kita merasakan kuasa dan kebijaksanaan Tuhan menembusi kehidupan kita lalu memimpin kita kepada Kristus. Pada hari ini, Zhang melayani sebagai pastor dan menyebarkan kebenaran salib kepada semua orang yang ingin mendengarkannya.
Yesus memiliki kuasa untuk mengubah hati batu yang paling keras. Siapakah yang memerlukan sentuhan-Nya yang penuh berkuasa pada hari ini?