“Saya mengharungi detik gelap.” Empat patah perkataan ini menggambarkan penderitaan jiwa seorang selebriti wanita popular semasa pandemik COVID-19. Penyesuaian kepada normal baharu merupakan sebahagian cabarannya, dan dalam kegawatan itu, dia mengaku bahawa dia bertarung dengan pemikiran bunuh diri. Sejak itu dia berusaha untuk keluar daripada lingkaran kemurungan itu, misalnya berkongsi pergelutannya dengan seorang kawan yang mengambil berat keadaannya.

Setiap kita cenderung terdedah kepada waktu, hari dan musim yang kacau-bilau. Lembah dan jalan yang sukar bukanlah tempat yang asing, tetapi alangkah mencabar untuk keluar dari tempat-tempat sedemikian. Maka kadangkala kita juga memerlukan bantuan profesional bagi kesihatan mental.

Dalam Mazmur 143, kita mendengar dan turut diajar oleh doa Daud semasa melalui detik gelap dalam hidupnya. Keadaan sebenar tidaklah diketahui, tetapi doanya kepada Tuhan adalah jujur dan penuh harapan. “Musuhku telah memburu aku, dan mengalahkan aku. Dia memasukkan aku ke dalam penjara yang gelap, dan aku ini seperti orang yang sudah lama mati. Oleh itu aku putus asa, aku tidak berdaya” (ayat 3-4). Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, tidak cukup dengan hanya mengakui apa yang sedang berlaku dalam diri kita kepada diri sendiri, sahabat handai, atau pakar perubatan. Kita mesti dengan bersungguh-sungguh menghadap Tuhan (seluruh jiwa dan badan) dengan tekun berdoa seperti dalam Mazmur 143:7-10. Detik gelap kita juga boleh menjadi masa berdoa yang bersungguh-sungguh demi mencari cahaya dan hidup yang hanya boleh diberikan oleh Tuhan.