Billy, seekor anjing yang penyayang dan setia, menjadi bintang internet pada tahun 2020. Buku lali tuannya, iaitu Russel, telah patah dan dia menggunakan tongkat ketiak untuk berjalan. Tidak lama kemudian anjing itu juga mulai terincut-incut apabila berjalan dengan tuannya. Oleh sebab risau, Russell membawa Billy untuk berjumpa dengan doktor haiwan yang berkata bahawa tiada apa-apa yang tidak kena dengan anjingnya! Billy berlari dengan bebasnya ketika bersendirian. Rupanya anjing itu buat-buat tempang ketika berjalan bersama tuannya. Itulah yang kita sebut sebagai benar-benar merasakan kesakitan orang lain!

Tampil di sisi orang lain merupakan ajaran terpenting rasul Paulus kepada jemaah di Roma. Dia merumuskan lima perintah terakhir daripada Sepuluh Hukum dengan demikian: “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri” (Roma 13:9). Kita juga dapat melihat pentingnya berjalan seiring dengan orang lain dalam ayat 8: “Janganlah berhutang kepada sesiapa pun, kecuali berhutang kasih terhadap satu sama lain.”

Seorang penulis yang bernama Jenny Albers menasihatkan: “Ketika seseorang sedang patah hati, jangan cuba menyembuhkan mereka. (Anda tidak dapat). Ketika seseorang sedang luka hati, jangan cuba untuk menghilangkan kesakitan mereka. (Anda tidak dapat melakukannya). Sebaliknya, kasihi mereka dengan berjalan di sisi mereka dalam kesakitan itu. (Anda dapat melakukannya.) Ini kerana kadangkala apa yang diperlukan orang hanyalah mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian.”

Oleh sebab Yesus, Penyelamat kita, berjalan di sisi kita sepanjang kelukaan dan kesakitan kita, maka kita pun tahu apa ertinya berjalan seiring dengan orang lain.