Seorang lelaki dan perempuan berhenti sejenak untuk menikmati keindahan sebuah lukisan abstrak besar. Mereka memerhatikan ada beberapa tin cat yang terbuka dan berus terletak di bawahnya. Dengan andaian bahawa itu adalah “lukisan masih dalam proses” yang dapat dibuat oleh siapa sahaja, mereka pun menyapu beberapa warna lalu beredar. Sebenarnya, pelukis itu sengaja meninggalkan barang-barang itu di sana sebagai sebahagian pameran karyanya yang sudah siap. Selepas meninjau rakaman video kejadian itu, pihak galeri seni mengakui terjadi salah faham dan tidak mengemukakan tuduhan.
Orang Israel yang tinggal di timur Yordan juga menimbulkan salah faham ketika mereka membina sebuah mazbah besar di sebelah sungai. Suku-suku di sebelah barat menganggap tindakan ini sebagai pemberontakan terhadap Tuhan—semua orang tahu bahawa Khemah TUHAN adalah satu-satunya tempat beribadat yang diperkenan oleh Tuhan (Yosua 22:16).
Ketegangan meningkat hingga suku-suku di sebelah timur menjelaskan bahawa mereka hanya bermaksud untuk membuat replika yang serupa dengan mazbah Tuhan. Mereka mahu keturunan mereka melihatnya dan mengenali hubungan rohani dan leluhur mereka dengan orang Israel yang lain (ayat 28-29). Mereka berseru: “Yang Maha Kuasa ialah Allah! Dialah TUHAN! Dia tahu” (ayat 22). Syukurlah, yang lain mendengar. Mereka melihat apa yang sedang berlaku, memuji Tuhan dan pulang ke rumah.
Oleh sebab Tuhan “tahu akan segala fikiran dan keinginan hati” (1 Tawarikh 28:9), Dia tahu dengan jelas motif setiap orang. Jika kita memohon Dia menolong kita untuk menyelesaikan situasi yang mengelirukan, Dia boleh memberi kita peluang untuk menjelaskan diri kita atau rahmat yang kita perlukan untuk memaafkan kesalahan. Kita dapat kembali kepada-Nya apabila kita berusaha untuk hidup bersatu dengan orang lain.