“Sedihnya, kami terpaksa mengadakan perbualan yang sukar baru-baru ini,” kata Shellie. “Saya berpendapat bahawa tiada antara kami yang menyukainya, tetapi saya berasa perangai dan kelakuannya perlu ditegur supaya dia tidak menyakiti perasaan orang di sekelilingnya.” Shellie berkata tentang seorang wanita muda yang dimuridkannya. Walaupun kurang menyenangkan, perbualan mereka membuahkan hasil malah mengeratkan hubungan mereka. Hanya beberapa minggu kemudian, mereka berdua memimpin waktu doa di gereja mereka yang bertemakan kerendahan diri.
Selain daripada hubungan yang formal antara mentor dan murid, ada kalanya kita akan menghadapi satu atau dua perbualan yang sukar dengan saudara atau saudari dalam Kristus. Dalam kitab Amsal, kitab yang penuh dengan hikmat yang tak makan dek zaman, kepentingan kerendahan diri dalam hal memberi dan menerima pembetulan adalah satu tema yang diulang-ulang. Bahkan, kritikan yang membina dipanggil “teguran yang membawa kepada kehidupan” (Alkitab TB)” dan memimpin kita menuju kepada kebijaksanaan yang benar (Amsal 15:31). Amsal 15:5 menyatakan bahawa “orang yang bodoh mengabaikan ajaran bapa; tetapi orang yang bijak menerima tegur ajar”. Kesimpulannya, “orang yang tidak mahu menerima tegur ajar akan mati” (ayat 10). Sebagaimana Kesaksian Shellie, kebenaran yang diucapkan dengan penuh kasih boleh memberi kehidupan baru dalam sesuatu hubungan.
Adakah seseorang dalam hidup anda yang anda perlu memberikan teguran yang penuh kasih, “teguran yang membawa kepada kehidupan”? Atau mungkin baru-baru ini anda menerima nasihat dan teringin untuk bertindak balas dengan kemarahan atau bersikap acuh tak acuh. “Orang yang tidak mahu belajar, tidak menghargai diri mereka. Orang yang menerima tegur ajar, menjadi lebih bijak” (ayat 32). Marilah kita meminta Tuhan untuk menolong kita memberi dan menerima teguran dengan rendah diri pada hari ini.