Paul Anderson, ahli angkat berat Amerika yang pernah dikenali sebagai Lelaki Terkuat Di Dunia, memecahkan rekod dunia Olimpik pada tahun 1956 di Melbourne, Australia, walaupun pada masa itu dia menghidapi jangkitan telinga yang teruk dan demam tinggi bersuhu 39 darjah Celsius. Oleh sebab markahnya yang ketinggalan berbanding dengan peserta lain, satu-satunya peluang untuk dia memenangi pingat emas adalah dengan mencatat rekod Olimpik baru di acara terakhir. Kedua-dua percubaan awalnya gagal teruk.

Namun, atlit tegap itu telah melakukan sesuatu yang orang terlemah di antara kita pun boleh melakukannya. Dia memohon kepada Tuhan untuk kekuatan tambahan, dengan melepaskan kekuatan yang dimilikinya. Kemudian dia berkata, “Aku bukannya tawar-menawar dengan Tuhan. Aku memerlukan pertolongan.” Akhirnya, dia berjaya melakukan angkatan seberat 413.5 paun (187.5 kg).

Paulus, iaitu rasul Kristus menulis, “Ketika aku lemah, pada masa itulah aku mendapat kekuatan daripada Kristus” (2 Korintus 12:10). Paulus sedang bercakap tentang kekuatan rohani, tetapi dia tahu bahawa kuasa Tuhan “nyata sekali pada masa kamu lemah” (ayat 9).

Seperti yang dikatakan oleh nabi Yesaya, “[Tuhan] menguatkan orang yang lemah, dan memberikan kekuatan kepada orang yang tidak berdaya” (Yesaya 40:29).

Apakah laluan ke arah kekuatan sebegitu? Mentaati Yesus. “Tanpa Aku, kamu tidak dapat berbuat apa-apa” Dia berkata (Yohanes 15:5). Sebagai seorang atlit angkat berat, Anderson sering berkata, “Jika orang terkuat di dunia pun tidak dapat mengharungi sehari tanpa kekuatan Yesus Kristus―apatah lagi dengan kamu?” Untuk mengetahui jawapannya, kita boleh melepaskan kebergantungan pada kekuatan khayalan diri sendiri, dan meminta kekuatan dan pertolongan Tuhan.