Suatu hari ketika merenungkan sebabnya Tuhan sangat menghargai kerendahan diri, Teresa dari Avila, iaitu seorang percaya pada abad 16 menyedari jawapannya: “Ini kerana Tuhan ialah Kebenaran Agung, dan kerendahan diri ialah kebenaran… Tiada benda baik terhasil daripada kita sendiri. Sebaliknya, kebaikan datang dari air rahmat, tempat kediaman jiwa kita, seperti sepohon pokok ditanam di tepi sungai, dan sinaran matahari memberi nyawa kepada kerja kita.” Teresa menyimpulkan bahawa melalui doa, kita dapat berpegang kepada realiti, kerana “seluruh asas doa ialah kerendahan diri. Semakin kita merendah diri dalam doa, semakin Tuhan akan meninggikan kita.”
Kata-kata Teresa tentang kerendahan diri menggemakan firman Tuhan dalam kitab Yakobus 4. Yakobus memberi amaran tentang kemusnahan diri disebabkan keangkuhan dan impian yang mementingkan diri, bertentangan dengan hidup yang bergantung pada rahmat Tuhan (ayat 1–6). Dia menekankan bahawa satu-satunya penyelesaian terhadap hidup yang penuh tamak, kepiluan, dan konflik berterusan, adalah bertaubat untuk mendapatkan rahmat Tuhan. Dengan kata lain, “hendaklah kamu merendahkan diri di hadapan Tuhan, maka dengan jaminan “Dia akan meninggikan kamu” (ayat 10).
Hanya apabila kita berakar di dalam air rahmat, kita akan mendapati kita dilimpahi “kebijaksanaan yang datang dari syurga” (3:17). Hanya melalui-Nya kita sendiri akan ditinggikan oleh kebenaran.