Sebuah misi penyelamat yang digelar sebagai “Operasi Bahtera Nuh” mungkin kedengaran menyeronokkan bagi pencinta haiwan, tetapi operasi itu umpama mimpi ngeri bagi Persatuan Nassau untuk Pencegahan Kezaliman terhadap Haiwan. Selepas menerima beberapa aduan tentang bunyi bising dan bau busuk yang datang dari sebuah rumah, beberapa pekerja memasuki rumah yang berada di Long Island tersebut dan menemui (kemudiannya menyelamatkan) lebih daripada 400 ekor haiwan yang berada dalam keadaan yang buruk.
Walaupun kita tidak memelihara beratus-ratus haiwan dalam keadaan yang menjijikkan, tetapi Yesus berkata bahawa kita mungkin memendam fikiran yang jahat dan berdosa, serta gerak hati kita yang perlu didedahkan dan dibuang.
Apabila Yesus mengajar para pengikut-Nya tentang apa yang menyebabkan seseorang suci atau tidak suci, Yesus berkata bahawa bukanlah tangan kotor atau “apa yang masuk ke dalam mulut” yang menajiskan seseorang, tetapi hati yang jahat (Matius 15:17-19). “Bau busuk” dari hati kita akhirnya akan terbocor daripada kehidupan kita. Kemudiannya, Yesus memberi beberapa contoh tentang pemikiran dan tindakan jahat yang berasal dari hati (ayat 19). Betapa banyaknya aktiviti keagamaan dan upacara yang dilakukan pun tidak akan dapat menyucikan orang. Kita memerlukan Tuhan untuk mengubah hati kita.
Kita boleh mempraktikkan etika luaran dan dalaman Yesus dengan membenarkan Dia masuk ke dalam kekotoran hati kita dan membuang apa sahaja yang menyebabkan kebusukan. Apabila Kristus mendedahkan apa yang datang dari hati kita, Kristus akan menolong untuk menyelaraskan percakapan dan perbuatan kita dengan kehendak-Nya, dan aroma yang keluar daripada kehidupan kita akan menggembirakan-Nya.