Menurut ahli psikologi Meg Jay, minda kita cenderung untuk berfikir tentang versi diri sendiri pada masa hadapan seperti mana kita berfikir tentang orang-orang yang kita tidak kenal. Mengapa? Kemungkinannya, ini disebabkan oleh sesuatu yang dipanggil “jurang empati.” Sering kali agak susah untuk bersimpati dan mengambil berat tentang orang yang kita tidak kenal secara peribadi—bahkan versi diri kita pada masa hadapan. Oleh yang demikian, dalam kerjayanya, Jay cuba menolong orang-orang muda membayangkan masa hadapan mereka dan mengambil langkah untuk mengambil berat tentang mereka. Hal ini termasuklah mengusahakan pelan yang dapat dilaksanakan oleh mereka dengan menjangka siapa yang mereka ingin jadi pada suatu hari nanti. Cara ini membuka jalan bagi mereka untuk mengejar impian mereka dan sentiasa maju.

Dalam Mazmur 90, kita telah dijemput untuk melihat kehidupan kita bukan sahaja pada masa kini, tetapi secara menyeluruh—dengan meminta Tuhan untuk “Sedarkanlah kami betapa pendeknya usia kami, supaya kami menjadi bijak bestari” (ayat 12). Dengan menyedari bahawa kehidupan kita di bumi ini adalah terhad, kita akan diingatkan tentang betapa terdesaknya untuk bergantung pada Tuhan. Kita memerlukan pertolongan-Nya untuk belajar bagaimana mencari kepuasan dan kegembiraan—bukan sahaja pada masa kini, tetapi untuk “seumur hidup kami” (ayat 14). Kita juga memerlukan pertolongan-Nya untuk berfikir bukan sahaja tentang diri kita sendiri, tetapi juga untuk generasi-generasi yang akan datang (ayat 16). Di samping itu, kita juga memerlukan pertolongan Tuhan untuk melayani-Nya dengan menggunakan masa yang telah diberikan kepada kita—sementara Tuhan mengukuhkan hasil kerja tangan dan hati kita (ayat 17).