Saya bukanlah peminat kopi, tetapi dengan sekali sahaja menghidu biji kopi, saya boleh merasakan ketenangan dan kesayuan pada masa yang sama. Apabila anak perempuan remaja kami Melissa menghiasi bilik tidurnya sendiri, dia telah memenuhi sebuah mangkuk dengan biji-biji kopi untuk mengharumkan biliknya dengan aroma yang mesra dan menyenangkan.
Dua dekad sudah berlalu sejak nyawa Melissa diragut oleh kemalangan jalan raya pada umur 17 tahun, namun kami masih menyimpan mangkuk biji kopinya. Mangkuk tersebut memberi kami aroma kenangan yang berterusan semasa kehidupan Melissa bersama dengan kami.
Alkitab juga menggunakan keharuman sebagai peringatan. Kitab Kidung Agung merujuk keharuman sebagai simbol cinta antara seorang lelaki dan seorang wanita (rujuk 1:3; 4:11, 16). Dalam kitab Hosea, pengampunan Tuhan terhadap Israel dikatakan “harum seperti pokok sedar di Lebanon” (Hosea 14:7). Di samping itu, tindakan Maria yang meminyaki kaki Yesus sehingga “keharuman minyak itu memenuhi seluruh rumah” Maria dan adik-beradiknya (Yohanes 12:3), telah melambangkan kematian Yesus yang menjelang (rujuk ayat 7).
Idea keharuman juga boleh membantu menyedarkan kita tentang kesaksian iman kita kepada orang-orang di sekeliling kita. Paulus menerangkan dengan sebegini: “Kami seperti bau kemenyan yang harum, yang dipersembahkan oleh Kristus kepada Allah. Semerbak baunya merebak kepada orang yang sedang diselamatkan dan kepada orang yang sedang menuju kepada kebinasaan” (2 Korintus 2:15).
Seperti mana keharuman biji kopi mengingatkan saya akan Melissa, semoga kehidupan kita juga menghasilkan haruman Yesus dan kasih-Nya yang mengingatkan orang lain bahawa mereka memerlukan Yesus dalam kehidupan mereka.