Apabila anak perempuan saya menerima sepasang ketam peliharaan sebagai hadiah, dia menyediakan tangki kaca dan mengisinya dengan pasir supaya haiwan itu boleh memanjat dan menggali. Dia juga membekalkan air, protein, dan sisa sayur-sayuran sebagai makanan ketam. Ketam itu kelihatan baik-baik sahaja, tapi agak mengejutkan apabila ketam itu tiba-tiba menghilang pada suatu hari. Kami mencari di mana-mana. Akhirnya, kami berfikir bahawa ketam tersebut mungkin berada di bawah pasir, dan akan berada di situ selama kira-kira 2 bulan semasa melepaskan rangka luar ketam.
Kini 2 bulan sudah berlalu, kemudian sebulan lagi berlalu dan saya mula berasa bimbang serta berfikir bahawa mungkin ketam itu telah mati. Semakin lama kami menunggu, saya menjadi semakin tidak sabar. Akhirnya, kami melihat tanda-tanda kehidupan, ketam-ketam tersebut muncul dari pasir.
Saya juga tertanya-tanya jika orang Israel pernah meragui nubuat Tuhan untuk mereka akan digenapi ketika mereka hidup sebagai orang buangan di Babilonia. Adakah mereka berasa putus asa? Adakah mereka bimbang bahawa mereka akan terperangkap di sana selama-lamanya? Melalui Yeremia, Tuhan telah berfirman, “Aku akan memperhatikan kamu lagi dan menepati janji-Ku untuk membawa kamu pulang [ke Yerusalem]” (Yeremia 29:10). Tepat sekali, 70 tahun kemudian, Tuhan mengerakkan hati Raja Kores iaitu raja Persia untuk membenarkan orang Yahudi pulang dan membina semula Rumah TUHAN mereka di Yerusalem (Ezra 1:1-4).
Dalam musim-musim penantian yang kelihatan seperti tiada apa-apa yang berlaku, Tuhan tidak melupakan kita. Semasa Roh Kudus menolong memupuk kesabaran dalam diri kita, kita dapat mengetahui bahawa Dia adalah Pemberi Harapan, Pemegang Janji, dan Dialah yang mengawal masa depan.