Thomas Aquinas (1225 –1274) merupakan salah seorang pembela iman yang paling terkenal di gereja. Namun hanya 3 bulan sebelum kematiannya, sesuatu telah menyebabkan dia tidak menghabiskan karyanya Summa Theologica, warisan terbesar dalam hidupnya. Ketika dia merenungkan tubuh Penyelamatnya yang ditikam dan darah-Nya mengalir, Aquinas mengakui bahawa dia mendapat suatu penglihatan yang menyebabkan dia bungkam. Dia berkata, “Tiada yang dapat saya tulis lagi. Saya telah melihat perkara-perkara yang membuat tulisan saya tidak bernilai seperti jerami.”
Sebelum Aquinas, Paulus juga mendapat satu penglihatan. Dalam 2 Korintus, dia menggambarkan pengalaman itu: “Orang itu [Paulus sendiri] diangkat ke Firdaus. (Aku tidak tahu sama ada hal ini benar-benar berlaku atau hanya suatu penglihatan—Allah sahaja yang tahu.) Di situ dia mendengar perkara-perkara yang tidak boleh dan tidak dapat diungkapkan” (12:3-4).
Paulus dan Aquinas mahu kita merenungkan kebaikan yang tidak dapat diungkapkan oleh kata-kata mahupun akal. Kesedaran Aquinas menyebabkan dia mendapati mustahil untuk menyelesaikan karyanya dengan menggambarkan Tuhan yang telah mengutus Anak-Nya untuk disalibkan bagi kita dengan lengkap. Sebaliknya, Paulus pula terus menulis, tetapi dia melakukannya dengan kesedaran terhadap apa yang tidak dapat diungkapkannya atau diselesaikan menurut kekuatannya sendiri.
Dalam segala kesusahan yang dihadapi oleh Paulus dalam pelayanannya kepada Kristus (2 Korintus 11:16-33; 12:8-9), dia dapat mengingat kembali dan melihat bahawa dalam kelemahannya, terdapat rahmat Tuhan serta kebaikan yang melampaui kata-kata dan keajaiban.