Itu merupakan minggu yang teruk bagi Kevin dan Kimberley. Keadaan sawan Kevin tiba-tiba bertambah teruk, dan dia harus dimasukkan ke hospital. Di tengah-tengah pandemik, 4 orang anak kecil mereka—adik-beradik yang diambil sebagai anak angkat dari rumah kebajikan—mengalami serangkaian emosi negatif hingga tahap yang melampau akibat lama terkurung di rumah. Tambahan lagi, Kimberley tidak dapat menyediakan makanan yang baik daripada sisa makanan dalam peti sejuk. Anehnya, pada masa itu, dia mengidam lobak merah.

Sejam kemudian, pintu rumah mereka diketuk. Kawan mereka Amanda dan Andy datang dengan membawa hidangan untuk keluarga itu, termasuklah lobak merah.

Kisah yang menakjubkan dalam sejarah bangsa Yahudi juga menunjukkan bahawa Tuhan sangat memperhatikan butiran yang terperinci. Firaun telah memerintahkan, “Tiap-tiap anak lelaki orang Ibrani mesti dibuang ke dalam Sungai Nil” (Keluaran 1:22). Perkembangan genosid (pembunuhan secara sengaja terhadap sesuatu bangsa atau kaum) itu menjadi sangat terperinci. Ibu Musa memang “membuang” bayinya ke dalam Sungai Nil, tetapi dengan strategi. Dari sungai Nil, anak perempuan Firaun sendiri menyelamatkan bayi yang kemudian dipakai oleh Tuhan untuk menyelamatkan umat-Nya. Puteri bahkan mengupah ibu Musa untuk menyusukan bayi itu! (2:9).

Pada suatu hari nanti, akan datang seorang bayi lelaki yang dijanjikan dalam kalangan bangsa Yahudi. Kisahnya akan dipenuhi dengan butiran yang menakjubkan dan unsur ironi ilahi. Yang terpenting, Yesus akan menyediakan jalan bagi kita untuk keluar daripada perhambaan dosa.

Bahkan—terutamanya—dalam masa gelap, Tuhan hadir dalam perincian. Seperti dikatakan oleh Kimberley, “Tuhan telah membawakan lobak merah kepada aku!”