Guernica merupakan sebuah lukisan berunsur politik yang paling penting, hasil karya seorang artis Sepanyol yang bernama Pablo Picasso. Lukisan ini adalah gambaran moden tentang kemusnahan Guernica, sebuah pekan kecil di Sepanyol pada tahun 1937. Semasa revolusi Sepanyol dan menjelang Perang Dunia II, pesawat Nazi Jerman telah dibenarkan oleh pasukan Nasionalis Sepanyol untuk menggunakan bandar itu sebagai tempat latihan pengeboman. Pengeboman kontroversial ini meragut banyak nyawa dan menarik perhatian masyarakat global yang prihatin terhadap pengeboman ini yang tidak bermoral serta tersasar pada orang awam. Lukisan Picasso menangkap imaginasi dunia yang melihatnya dan menjadi pemangkin kepada perdebatan tentang keupayaan manusia untuk menghancurkan satu sama lain.
Bagi kita yang berasa yakin bahawa kita tidak akan berniat untuk menumpahkan darah orang lain, kita harus mengingati kata-kata Yesus, “Kamu sudah mendengar yang diajarkan kepada nenek moyang kita: ‘Jangan membunuh; sesiapa yang membunuh orang akan diadili.’ Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan diadili” (Matius 5:21-22). Hati boleh membunuh tanpa pernah benar-benar melakukan pembunuhan.
Apabila kemarahan yang tidak terkawal terhadap orang lain menguasai diri kita, kita sangat memerlukan Roh Kudus untuk memenuhi dan mengawal hati kita supaya tabiat manusia kita digantikan dengan buah Roh (Galatia 5:19-23). Kemudian kasih, sukacita dan kesejahteraan akan menonjol dalam hubungan sesama kita.