Dua ekor ayam belanda liar kelihatan berkeliaran di pinggir lorong sebuah desa. “Bagaimana saya dapat mendekati ayam belanda itu? Saya tertanya-tanya. Saya memperlahankan joging saya dan berjalan, kemudian berhenti. Kemudian ayam belanda itu betul-betul menuju ke arah saya … dan terus datang. Dalam beberapa saat, ayam belanda tersebut menjulurkan kepala ke pinggang saya, kemudian di belakang saya. Betapa tajamnya paruh-paruh itu! Saya lari menyelamatkan diri. Ayam belanda itu terkedek-kedek mengejar saya sebelum berhenti.
Betapa cepatnya keadaan telah berubah! Yang diburu telah menjadi pemburu apabila ayam belanda itu merampas inisiatif. Bodohnya, saya menyangka ayam belanda tersebut terlalu mudah menjadi takut. Saya tidak mahu dicederakan oleh seekor burung, jadi saya pun melarikan diri.
Daud kelihatan tidak berbahaya, jadi Goliat mencemuhnya untuk datang dekat. “ ‘Mari,’ katanya, ‘Aku akan memberikan tubuhmu kepada burung dan binatang supaya dimakan!’ ” (1 Samuel 17:44). Daud mengubah keadaan apabila dia merampas inisiatif. Dia berlari ke arah Goliat bukan kerana dia bodoh, tetapi kerana dia mempunyai keyakinan pada Tuhan. Dia menjerit, “Hari ini juga … seluruh dunia akan tahu bahawa kami, bangsa Israel mempunyai Allah” (ayat 46). Goliat berasa bingung dengan budak yang agresif ini. Pasti dia berfikir, apakah yang telah berlaku? Kemudian batu itu mengena tepat pada dahinya.
Memang semula jadi bagi haiwan kecil melarikan diri daripada manusia, dan gembala domba mengelakkan diri daripada gergasi. Sudah menjadi lumrah bagi kita bersembunyi daripada masalah. Mengapa berpuas hati dengan keadaan semula jadi? Bukankah ada Tuhan di Israel? Jadi, dalam kuasa-Nya, berlarilah ke arah medan pertempuran.