Ketika seorang pemimpin gereja meminta saya berbual dengan Karen secara peribadi, saya berjumpa Karen di sebuah bilik pusat kaunseling, matanya merah dan pipinya basah. Karen berumur 42 tahun dan ingin sekali berkahwin. Ketika itu ada seorang lelaki sedang memikat dia, tetapi lelaki ini adalah bosnya—dan sudah beristeri.
Karen mempunyai seorang abang yang suka mengusiknya dengan kejam dan bapa yang bersikap dingin. Ini menyebabkan dia menyedari dari awal bahawa dia mudah terpujuk dengan kata-kata manis lelaki. Imannya yang baharu telah membantu dia membina batasan yang sihat dalam hubungan, tetapi keinginannya tetap sama, dan sekilas cinta yang tidak dapat dimilikinya itu menjadi seksaan.
Selepas perbualan itu, Karen dan saya menundukkan kepala untuk berdoa. Melalui doa yang jujur serta dipenuhi kuasa Tuhan, Karen mengakui godaannya, mengisytiharkan penolakan akan pujukan majikannya, dan menyerahkan kerinduannya kepada Tuhan. Karen meninggalkan bilik itu dengan lega.
Pada hari itu, saya menyedari hikmat daripada nasihat Paulus untuk kita memperlakukan satu sama lain sebagai saudara seiman (1 Timotius 5:1-2). Cara kita menanggapi orang lain akan menentukan cara kita berinteraksi dengan mereka, dan di dunia yang cepat memperalatkan dan menanggapi semuanya secara seksual, memandang kaum lelaki atau perempuan sebagai anggota keluarga kita akan menolong kita memperlakukan mereka dengan baik dan sewajarnya. Hubungan adik-beradik lelaki dan perempuan yang sihat tidak akan saling mendera atau menggoda.
Sebelum ini Karen hanya mengenali kaum lelaki yang memandang rendah terhadapnya, mempergunakan, atau mengabaikannya. Tetapi Karen memerlukan seorang saudara yang boleh berbicara dengannya seperti seorang adik. Keindahan Injil menyediakan apa yang kita perlukan—memberi kita hubungan adik-beradik baharu untuk membantu kita menghadapi masalah hidup.