Saya bertemu dengannya pada tahun 1970-an, semasa saya merupakan guru bahasa Inggeris dan jurulatih bola keranjang di sebuah sekolah menengah. Dia seorang pelajar baru yang tinggi lampai. Tidak lama kemudian, dia menyertai pasukan bola keranjang dan menghadiri kelas-kelas yang saya ajar—persahabatan kami mula terbentuk. Sahabat ini yang sama, yang telah bekerja bersama-sama saya sebagai editor selama bertahun-tahun lamanya, berdiri di majlis persaraan saya dan berkongsi tentang warisan persahabatan kami yang telah lama terbentuk.
Apakah keistimewaan persahabatan yang terjalin dalam kasih Tuhan, yang mendorong dan membawa kita lebih dekat dengan Yesus? Penulis kitab Amsal faham bahawa persahabatan begini mempunyai dua komponen yang menggalakkan: Pertama, sahabat sejati memberi nasihat yang berguna, walaupun nasihat ini susah untuk diberi atau diterima. Penulis menerangkan bahawa, “Seorang kawan memukul dengan maksud baik” (27:6). Kedua, seorang sahabat yang dekat dan dapat dihubungi adalah penting pada masa krisis, “jiran yang dekat dapat lebih menolong kamu daripada saudara yang jauh” (ayat 10).
Tidak baik untuk kita menjalani kehidupan kita seorang diri. Seperti yang dicatat oleh Salomo: “Berdua lebih baik daripada seorang diri, kerana bersama-sama mereka dapat bekerja dan hasilnya lebih baik.” (Pengkhutbah 4:9). Dalam kehidupan, kita perlu mempunyai sahabat dan kita perlu menjadi sahabat. Semoga Tuhan membantu kita “saling mengasihi dengan mesra sebagai saudara dalam keluarga Kristus” (Roma 12:10) dan “saling menolong memikul beban” (Galatia 6:2)—menjadi seorang sahabat yang dapat mendorong yang lain dan mendekatkan mereka kepada kasih Yesus.