Pada tahun 1854, sesuatu telah menyebabkan kematian beribu-ribu orang di London. Pastinya disebabkan udara yang tercemar, fikir ramai orang. Sememangnya, apabila haba pada musim panas memanaskan permukaan Sungai Thames yang kotor, baunya menjadi sangat busuk sehingga dikenali sebagai “Bau Hebat” (The Great Stink).
Tetapi punca sebenar bukanlah kecemaran udara. Hasil penyelidikan Dr. John Snow menunjukkan bahawa air yang tercemar merupakan punca wabak kolera.
Kita sebagai manusia juga menyedari tentang satu lagi krisis—berbau busuk sehingga ke syurga. Kita hidup di dunia yang rosak—dan kita cenderung tersilap untuk mengenal pasti punca masalah, tetapi hanya merawat gejala yang ada. Program sosial dan polisi yang bijak mendatangkan kebaikan, tetapi cara ini tidak berkuasa untuk menghentikan punca penyakit masyarakat—hati kita yang berdosa!
Apabila Yesus berkata, “Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang, dapat menajiskan dia,” Dia bukan merujuk kepada penyakit fizikal (Markus 7:15). Sebaliknya Dia mendiagnosis keadaan rohani setiap kita. Dia berkata “Sebaliknya, apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia,” (ayat 15), dan menyenaraikan kejahatan yang ada dalam diri kita (ayat 21-22).
Daud menulis “Aku jahat sejak aku dilahirkan” (Mazmur 51:7). Kita semua boleh bersimpati dengan ratapannya. Kita rosak sejak dari awal. Sebab itu Daud berdoa, “Ya Allah, ciptalah hati yang murni bagiku” (ayat 12). Kita memerlukan hati yang baru setiap hari, yang diberikan oleh Yesus melalui Roh Kudus-Nya.
Kita harus membiarkan Yesus menyucikan punca masalah hidup kita, bukannya hanya merawat gejalanya.