Membaca bab terakhir sebuah novel misteri terlebih dahulu mungkin kedengaran suatu idea yang buruk, terutamanya bagi mereka yang suka menunggu segala unsur saspens didedahkan pada hujung sesuatu cerita yang baik. Tetapi sesetengah orang lebih suka membaca buku sekiranya mereka mengetahui bagaimana kisah itu akan berakhir.
Dalam buku Reading Backwards (Baca dari Belakang), pengarangnya Richard Hays menunjukkan betapa pentingnya kita memahami Alkitab. Dengan mengilustrasikan bagaimana kata-kata dan peristiwa dalam Alkitab memberi ramalan, gambaran dan penerangan kepada satu sama lain, Profesor Hays memberi kita alasan untuk membaca seluruh Alkitab dari permulaan hingga ke akhir.
Hays mengingatkan para pembaca bahawa hanya selepas kebangkitan Yesus, para pengikut-Nya memahami tuntutan-Nya untuk membina semula Rumah Tuhan yang akan termusnah dalam tiga hari. Rasul Yohanes memberitahu kita, “Sebenarnya Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus itu tubuh-Nya sendiri” (Yohanes 2:21). Hanya ketika itu mereka dapat memahami makna perayaan Paska (Lihat Matius 26:17-29). Hanya dengan melihat ke belakang, barulah mereka dapat merenungkan penjelasan Yesus yang lengkap tentang kasih yang penuh semangat oleh seorang raja kuno untuk Rumah Tuhan (Mazmur 69:9; Yohanes 2:16–17). Hanya dengan membaca semula Alkitab dan mengetahui Rumah Tuhan yang benar (Yesus Sendiri), para pengikut dapat memahami bagaimana adat agama Israel dan Mesias memberi penerangan antara satu sama lain.
Kini, hanya dengan membaca Alkitab yang sama dari halaman belakang dan ke hadapan, barulah kita dapat melihat segala sesuatu yang kita perlukan atau rindukan hanya ada dalam Yesus.