Ayam panggang, kacang hijau, spageti, dan roti. Pada suatu hari bulan Oktober yang sejuk, hidangan makan malam hangat ini diberikan kepada sekurang-kurangnya 54 orang gelandangan, oleh seorang wanita yang meraikan hari lahirnya yang ke-54. Wanita itu dan rakan-rakannya memutuskan tidak meraikan hari jadinya seperti biasa di restoran, tetapi menyediakan makanan untuk orang gelandangan di jalanan di Chicago. Di media sosial, dia mendorong orang lain juga melakukan kebaikan sebagai hadiah hari jadi.

Cerita ini mengingatkan saya tentang kata-kata Yesus dalam kitab Matius 25: “Ketahuilah, manakala kamu melakukan perkara itu untuk salah seorang daripada saudara-Ku, walaupun dia hina, kamu telah melakukannya untuk-Ku” (ayat 40). Yesus berkata ini selepas mengisytiharkan bahawa domba-Nya akan dikumpulkan dalam kerajaan-Nya yang kekal untuk menerima warisan mereka (ayat 33). Pada masa itu, Yesus akan mengakui bahawa mereka adalah orang yang memberi makanan dan pakaian kepada-Nya kerana iman mereka tulus kepada Dia, tidak seperti para ketua imam yang sombong serta tidak percaya kepada-Nya (baca 26:3-5). Walaupun “mereka yang melakukan kehendak Allah” mempersoalkan bila mereka pernah memberi makan dan pakaian kepada Yesus (25:37), Dia meyakinkan mereka bahawa apa yang dilakukan mereka untuk orang lain adalah sama dilakukan untuk Dia (ayat 40).

Memberi makan kepada yang lapar adalah salah satu cara Tuhan yang membantu kita mengambil berat akan orang lain, serta menunjukkan kasih kita untuk Dia dan hubungan kita dengan-Nya. Semoga Tuhan membantu kita memenuhi keperluan orang lain pada hari ini.