Pernahkah anda terserempak dengan ular orok-orok? Jika ya, anda mungkin menyedari bahawa bunyi detar ular menjadi semakin kuat apabila anda bergerak menghampirinya. Hasil penyelidikan dalam jurnal saintifik Current Biology mendedahkan bahawa ular meningkatkan kadar bunyi detar apabila ancaman menghampirinya. “Mod frekuensi tinggi” ini boleh membuat kita berfikir bahawa ular ini berada lebih dekat daripada yang dijangka. Seperti yang dikatakan oleh seorang ahli penyelidik, “Salah tafsiran jarak oleh pendengar … mewujudkan garis jarak keselamatan yang jauh.”
Ketika dalam konflik, kadangkala orang menggunakan nada suara yang tinggi dan kata-kata kasar—menunjukkan kemarahan dan berteriak agar orang menjauhkan diri. Penulis kitab Amsal berkongsi beberapa nasihat yang bijak untuk situasi sebegini: “Jawapan yang lembut meredakan kemarahan, sedangkan kata-kata yang pedas membangkitkan amarah.” (Amsal 15:1). Dia meneruskan lagi dengan berkata bahawa perkataan yang “baik” dan “bijak” boleh “membangkitkan semangat” dan menjadi sumber “pengetahuan” (ayat 4, 7).
Yesus memberikan kita alasan muktamad bahawa kita harus bersikap lemah lembut terhadap orang yang tidak bersependapat dengan kita: menyalurkan kasih yang mendedahkan kita adalah anak-anak-Nya (Matius 5:43-45) dan mencari perdamaian—“berjaya mendapat kembali saudaramu” (18:15). Kita tidak patut meninggikan suara atau menggunakan kata-kata yang tidak baik ketika berada dalam konflik, lebih baik kita menunjukkan kesopanan, hikmat dan kasih kepada orang lain, apabila Tuhan membimbing kita melalui Roh Kudus-Nya.